Sunday, February 22, 2009

Esok untuk siapa?

Lebih suku abad yang lalu, generasi filem Melayu begitu gemar menggunakan perkataan "esok" dalam filem-filem mereka. Filem-filem saperti "Esok masih ada", "Tiada esok bagimu", "Esok untuk siapa" dan sebagainya. Melalui filem-filem inilah, Jins Shamsuddin telah berjaya mengenegahkan pelakun-pelakun baru saperti Noorkumalasari, Norizan dan Yusof Haslam.

Kini Jin Shamsuddin dilantik menjadi senator. Tapi apakah masih ada "esok" untuk Melayu? Dalam satu posting sebelum ini, pemanggil malam telah mengalih perhatian kepada kisah trajis yang menimpa adik Mohd Azrin Mohamad yang telah dibelasah oleh sekumpulan remaja melayu menggunakan rantai besi, topi keledar dan batang besi yang mengakibatkan beliau terlantar koma selama seminggu sebelum pulang kerahmahtullah pada 21hb Februari 2009 yang lalu.

Seorang pengujung blog telah menulis "melayu o melayu kemana haja tuju anda?". Tentu sekali kita semua pernah mendengar tentang "kalau ada 2 orang Melayu, mereka akan berpolitik, jika ada 3 orang India, mereka akan menubuhkan kesatuan manakala kalau ada 4 orang Cina, meraka akan membuka gelanggang mahjong", jadi secara ringkasnya, Melayu memang gemar berpolitik, bersembang diserata tempat mengenai politik, mengupas politik semasa tapi semuanya ala-kedai kopi, tidak berlandaskan fakta dan kesahihan undang-undang.

Tun M pernah berkata "Melayu mudah lupa". Sememangnya begitu kerana kepimpinan politik Melayu memang mengharapkan Melayu mudah lupa kerana dengan cara itulah pemikiran Melayu dapat dibentuk untuk memberi sokongan membabi buta kepada mana-mana pemimpim politik yang di war-warkan oleh media arus perdana. Ini memang terbukti apabila media cetak Utusan Malaysia, Berita Harian memainkan sentimen rakyat dari golongan Melayu untuk tujuan politik pimpinan sekarang. Kalau tidak percaya, cuba baca kedua-dua akhbar ini dan baca pula Malaysiakini, Malaysian Insider. Akan jelas bagaimana BH dan UM cuba mengarahkan pembaca untuk menerima bulat2 apa yang diutarakan oleh UMNO dan mengambarkan apa yang dibuat oleh parti lain sebagai salah. Takkanlah semua salah kot? Apakah BH dan UM telah berjaya mengujudkan budaya kepatuhan (subject culture) dalam bangsa Melayu sehinggakan apa saja yang dibuat oleh UMNO dan BN akan dianggap sebagai benar dan betul? Tepuk dada tanya selera...Untuk memahami tentang kefahamam Melayu, sila baca kertas bertajuk

"Nilai dan Kepimpinan Politik Melayu" yang dibentangkan di Seminar Kepimpinan Melayu anjuran Universiti Teknologi MARA pada 19 November 2008 bertempat di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur.


Dalam keadaan Melayu dibuai dengan polemik politik, Melayu lupa bahwa dalam satu kajian yang dijalankan dalam tahun 2007, pendapatan purata Melayu merupakan yang terendah iaitu RM 3,156 berbanding kaum India sebanyak RM 3,799 dan kaum Cina sebanyak RM 4,853. Fakta ini juga diambil dari kertas kerja diatas. Kenapa begini? Apakah parti politik yang seharusnya memayungi Melayu telah menderhaka kepada kepercayaan yang diberikan secara total oleh Melayu kepada UMNO?

Selain dari itu, dalam pengiraan UMNO untuk terus membelengu Melayu, program2 hiburan bercambah dalam TV. AF, OIAM, Ganstarz, Raja Lawak, Jom Heboh dibuat sebegitu rupa sehingga Melayu beitu asyik membelanjakan duit untuk "menaikkan" peserta yang digemari. Apakah ini yang diperjuangkan oleh UMNO? Begitu juga dengan "rempit", ianya merupakan sifat menunjuk-nunjuk atau "exhibitionist" yang sebenarnya satu panggilan kecemasan SOS dimana perempit-perempit ini meminta perhatian supaya jiwa mereka diperbaiki. Apabila panggilan kecemasan mereka tidak diberi perhatian, mereka akan "upgrade" menjadi lebih ganas termasuk merompak, bergaduh dan sebagainya.

Sebelum melangkah lebih jauh, adalah paling baik sekiranya Melayu di"identify" akan sifat-sifat mereka kerana akhir-akhir ini, takrif Melayu begitu longgar sehingga UMNO sendiri sanggup menerima keahlian dari "bukan Melayu tulen" hingga ketaraf yang tinggi didalam parti tersebut. Bagaimana Melayu boleh mengharap pada orang "asing" untuk membela Melayu?

Melayu juga harus sedar dari mimpi "Tidak Melayu hilang di dunia" kerana memang Melayu tidak hilang di dunia tetapi Melayu hanyut dalam arus kemajuan. Lihat sekeliling dan bedzakan NGO Melayu kalau dibandingkan dengan NGO lain. NGO Melayu masih berkiblatkan kepada fahamam politik dimana ketuanya mempunyai jawatan dalam politik terutamanya dalam UMNO. Oleh itu, NGO tidak bebas dari politik UMNO dan ini menjauhkan mereka yang tidak berfahamam politik.

Bagaimana kedudukan Sultan sebagai payung bangsa? Relevan atau tidak? Terserah pada pembaca sekelian.

Tapi yang paling penting, halatuju Melayu berada pada persimpangan. March 2008 merobah segalanya apabila Melayu dengan cara terbuka telah menolak keangkuhan UMNO dan sifat UMNO yang tidak diterima oleh Melayu. Melayu juga menghantar message bahwa sudah tiba masanya untuk Melayu bersifat lebih terbuka untuk mengakui peranan bangsa lain adalah sama pentingnya dalam memajukan Malaysia. Melayu juga sudah bangkit dan menolak politik kain sarung dan tiang letrik. Melayu menolak politik murahan yang menjatuhkan maruah sesama bangsa dan agama. Melayu mahu jurang perbedzaan ekonomi antara Melayu kaya dan Melayu miskin dirapatkan, menolak kronisma dan rasuah. Melayu ingin peluang yang sama antara Melayu UMNO dan Melayu bukan UMNO.

Halatuju Melayu adalah halatuju bangsa Malaysia. Halatuju Melayu adalah kearah satu masyarakat majmuk yang menghormati agama, bangsa, budaya masing-masing. Halatuju Melayu adalah bersifat universal, berjuang bersama untuk menaikkan taraf semua bangsa tanpa mengira perbedzaan fahamam politik. Halatuju Melayu adalah untuk merapatkan diri dengan pegangan agama Islam.

Itu pandangan ikhlas...Selamat malam M'sia...dimana jua anda berada...




No comments: